LATAR BELAKANG DAERAH KOTA SETAR

LATAR BELAKANG DAERAH KOTA SETAR

 

LATAR BELAKANG DAERAH KOTA SETAR

Seluruh Daerah Kota Setar terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kota Setar, manakala pentadbiran tanahnya pula terbahagi kepada pentadbiran Pejabat Tanah Kota Setar dan Pejabat Tanah Pokok Sena. Pengasingan pentadbiran tanah bermula sejak tahun 1991. Pada 1 Januari 2008, pentadbiran daerah dan tanah Pokok Sena telah diasingkan terus dengan wujudnya Pejabat Daerah & Tanah Pokok Sena. Dari segi pembahagian mukim, terdapat 28 mukim dalam pentadbiran Pejabat Daerah Kota Setar.

Pusat pentadbiran daerah ditempatkan di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar, Jalan Suka Menanti. Pada masa kini, Pejabat Daerah Kota Setar mempunyai 62 orang kakitangan dan 17 orang Penghulu Mukim. Kawasan pentadbiran daerah Kota Setar dibahagikan kepada 3 sempadan kawasan iaitu:

i. Melalui mukim di mana terdapat 28 mukim yang diterajui oleh Penghulu sebagai mewakili Pegawai Daerah di peringkat mukim
ii. Melalui kawasan MADA dan di luar kawasan MADA
iii. Melalui kawasan pilihanraya

Mengikut sejarah sistem Pentadbiran Tanah di Negeri Kedah Darul Aman adalah antara yang tertua di Malaysia. Rekod-rekod di dalam surat-surat hakmilik tanah menunjukkan bahawa terdapat hakmilik tanah yang lama sejak zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin iaitu di dalam tahun 1870 an lagi. Ini bermakna bahawa sistem Pentadbiran Tanah Negeri telah pun wujud sebelum kedatangan British.
Pentadbiran Pejabat Tanah Kota Setar adalah berasingan daripada pentadbiran Pejabat Daerah Kota Setar. Pentadbiran Jabatan ini bertanggungjawab terus kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri. Sebelum tahun 1991 Pentadbiran Tanah Kota Setar merangkumi keseluruhan Daerah Kota Setar, tetapi sejak tahun 1991 pentadbiran tanah telah dipecah kepada dua iaitu Pejabat Tanah Kota Setar yang mengandungi 28 mukim dan Pejabat Tanah Pokok Sena yang mengandungi 6 mukim.
Pejabat Tanah Kota Setar terletak di komplek Jabatan Kerajaan Bangunan Sultan Abdul Halim, Alor Setar iaitu di aras bawah dan satu sejak bulan Julai 1995. Sebelum ini ianya ditempat di Bangunan Wan Mat Saman.

Dan kini Pejabat Tanah Kota Setar telah berpindah ke Kompleks Pentadbiran Daerah dan Tanah Kota Setar di Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.