LATAR BELAKANG DAERAH YAN

LATAR BELAKANG DAERAH YAN

LATAR BELAKANG DAERAH YAN

Daerah Yan merupakan salah sebuah dari 12 buah Daerah yang terdapat dalam Negeri Kedah Darul Aman. Daerah Yan diperkatakan telah dibuka pada tahun 1906/07 bersamaan 1324hijrah. Adalah difahamkan ‘Yan’ yang disebut pada hari ini sebenarnya lebih dikenali dengan sebutan ‘YEN’. ‘Yen’ dalam bahasa Siam bermaksud ‘Sejuk’ dan berkemungkinan nama tersebut diambil sempena dengan nama yang diberi kepada sebatang sungai yang terdapat di Pekan ini. Pekan Yan yang menjadi tumpuan utama kepada pembukaan Daerah Yan yang merupakan Pusat Pentadbiran bagi Daerah Yan, bermula sejak awal abad ke-20 lagi. Menurut fakta sejarah, kawasan Yan adalah anugerah daripada Sultan Kedah kepada Syed Othman Al-Qadri bagi menjalankan tugas-tugas memungut cukai dan mentadbir daerah tersebut.

Apabila Inggeris campur tangan di Kedah pada tahun 1909, Daerah Yan telah diwujudkan secara rasmi dan seorang Pegawai Daerah telah dilantik buat pertama kalinya dan Tengku Mansor Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid telah dilantik ke jawatan tersebut. Ketika itu, tugas utama Pegawai Daerah ialah sebagai Pentadbir dan Hakim atas kesalahan kecil serta Pemungut Cukai.
Pentadbiran awal ditempatkan disebuah bangunan kayu yang terletak di Jalan Pegawai, Yan. Pejabat Tanah Yan diletakkan bersebelahan dalam satu bangunan dengan Pejabat Daerah yang mana ketua bagi kedua jabatan tersebut mur dan adalah Tuan Pegawai Daerah sendiri.

Setelah beroperasi selama lebih suku abad (26tahun), Pejabat Daerah dan Tanah Yan kini berpindah ke sebuah bangunan dua tingkat di Kawasan Sungai Udang iaitu 2 km dari Pekan Yan, pada bulan Jun 1997. Daerah Yan merupakan salah sebuah daerah yang terkecil di dalam Negeri Kedah, bersempadankan Daerah Kota Setar di sebelah Utara, Daerah Pendang di sebelah Timur dan Daerah Kuala Muda di sebelah Selatan bersempadankan Gunung Jerai ( setinggi 3992 kaki dari paras laut ) iaitu gunung yang tertinggi di Negeri Kedah dan ianya merupakan salah sebuah pusat peranginan yang terdapat di negeri ini. Keseluruhan di sebelah Barat bertentangan Selat Melaka. Disamping itu terdapat empat buah pulau kecil di persisiran pantai terdiri dari Pulau Bunting, pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Bidan. Di Pulau Bidan terdapat pula Akuarium Laut yang sangat menarik untuk dikunjungi oleh pelawat dan pelancong.