MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI PEJABAT DAERAH DAN TANAH PADANG TERAP BERSAMA DELEGASI THAILAND TAHUN 2023/1444H

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI PEJABAT DAERAH DAN TANAH PADANG TERAP BERSAMA DELEGASI THAILAND TAHUN 2023/1444H

PADANG TERAP 12 MEI 2023 (JUMAAT) – Majlis Sambutan Aidilfitri Pejabat Daerah & Tanah Serta Majlis Daerah Padang Terap Bersama Delegasi Thailand yang julung-julung kalinya diadakan telah berlangsung dengan penuh kemeriahan pada Jumaat. Delegasi Thailand dari dua buah daerah iaitu Nathawi dan Kabang yang diketuai oleh Pegawai Daerah masing-masing tiba seawal jam 1 tengah hari dan disajikan juadah tengah hari di Semeliang Agrofarm, Kuala Nerang sebelum bersiap untuk menyertai pertandingan futsal persahabatan yang dijadualkan pada jam 3.30 petang.
MAS-THAI Futsal Challenge 2023 : Raya Edition yang berlangsung di Gelanggang Futsal Bukit Gedung disertai oleh 6 pasukan iaitu, Daerah Padang Terap, Daerah Nathawi, Daerah Kabang, Malaysia-Thailand Border Coordination Office (MTBCO), ICQS Durian Burung dan pasukan jemputan khas, Kedah Darul Aman (KDA) FC. Perlawanan akhir yang berlangsung pada jam 6.00 petang telah dimenangi oleh Pasukan KDA FC yang berjaya menewaskan Daerah Kabang. Delegasi Thailand kemudiannya dibawa ke AMD Resort, Perik untuk berehat dan membuat persiapan untuk menghadiri jamuan hari raya pada malamnya.
Sambutan Aidilfitri bermula dengan meraikan kehadiran delegasi Thailand pada jam 8.30 malam di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang. YBhg. Tuan Pegawai Daerah Padang Terap, Tuan Azmin bin Zainol Abidin telah menyampaikan ucaptama kepada semua yang hadir pada malam tersebut. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan yang menyertai MAS-THAI Futsal Challenge 2023 : Raya Edition dan cenderahati istimewa kepada delegasi Thailand. Majlis turut diserikan dengan tarian kebudayaan dan persembahan nyanyian lagu raya daripada Badan Kesenian Negeri Kedah (BKNK). Tuan Pegawai Daerah Padang Terap juga meraikan kehadiran anak-anak pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah & Tanah serta Majlis Daerah Padang Terap yang berumur 12 tahun ke bawah dengan pemberian duit raya.
Acara pada petang dan malam turut dihadiri beberapa tetamu utama, iaitu Mr Chertpong Jaitrong, Pegawai Daerah Nathawi bersama delegasi; Mr Amran Baka, Pegawai Daerah Kabang bersama delegasi; YBhg. Lt Kol Muhd Harith Promwitchit Abdullah, Ketua Penolong Pengarah MLOT, MTBCO; Capt Prasit Udomwate, Ketua IWG, TMBCO; Encik Iman Hazwan Abd Halim, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah); Encik Muhammad Nur Ihsan Yahaya, Setiausaha Majlis Daerah Padang Terap dan YBhg. Dato’ Khamal Idris Haji Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC. Turut memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Daerah Padang Terap, Ketua-Ketua Jabatan Daerah Padang Terap, Pihak Pengurusan dan pemain KDA FC, Puspanita Daerah Padang Terap serta warga Pejabat Daerah & Tanah serta Majlis Daerah Padang Terap bersama keluarga.