𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗞𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗦𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧 𝗕𝗔𝗜𝗞 𝗝𝗔𝗟𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗖𝗞𝗗 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔
(𝗞𝗛𝗔𝗠𝗜𝗦 𝟮𝟭 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰)
KULIM – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik pembukaan kilang pembuatan, CKD Malaysia dimana menandakan pencapaian penting dalam pembangunan industri Malaysia dalam mencapai visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pelaburan strategik ini bertujuan mengukuhkan sistem pengeluaran CKD bagi produk komponen di seluruh rantau ASEAN, sekaligus membolehkan respon pantas terhadap permintaan global yang semakin berkembang dalam industri pembuatan am.
“Kilang baharu ini menggunakan teknologi pembuatan terkini dan sistem pengurusan rantaian bekalan yang canggih dalam memastikan kemampuan penghantaran tepat pada masa kepada pelanggan di seluruh dunia.
“CKD Malaysia merupakan contoh dimana industri inovasi dan kemampanan boleh bersatu dalam membina masa depan yang lebih baik. Dengan menubuhkan syarikat tercanggih ini, CKD Malaysia menyumbang dengan ketara kepada kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan global.
“Kemudahan ini bukan sahaja akan menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa, tetapi ia juga akan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memupuk bakat dan menyediakan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Pembuatan “Komponen Pengawal Gas” Dan Sistem Penyampaian Gas Terintegrasi CKD Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah; Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli; Pengerusi Ahli Lembaga CKD Corporation, Kazunori Kajimoto dan
Direktor Pengurusan CKD Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Nishida.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata sektor pembuatan merupakan salah satu tonggak ekonomi Malaysia dimana ia menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negeri dan memainkan peranan penting dalam memacu industri eksport disamping mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk inovasi teknologi.
“Pembukaan syarikat ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan sektor swasta dalam industri berteknologi tinggi serta menggalakkan amalan mampan dalam sektor pembuatan.
“Kerajaan Negeri memuji akan kepimpinan dan pasukan CKD Malaysia atas pandangan jauh dan komitmen mereka. Pelaburan anda dalam kemudahan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi perniagaan tetapi juga menunjukkan komitmen terhadap prinsip kemampanan, kualiti dan inovasi yang sangat penting untuk kejayaan jangka panjang mana-mana organisasi,” ujarnya.