MAJLIS KURNIAAN DAN SUMBANGAN AIDILADHA YAYASAN ANAK-ANAK YATIM SULTANAH HAMINAH BAGI SESI 2025

Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah

MAJLIS KURNIAAN DAN SUMBANGAN AIDILADHA YAYASAN ANAK-ANAK YATIM SULTANAH HAMINAH BAGI SESI 2025

Pendang, 3 Jun 2025 (Selasa) – Satu majlis kurniaan dan sumbangan Aidiladha anjuran Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah bagi sesi tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh istiadat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang.
Majlis ini telah diserikan dengan keberangkatan tiba Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah binti Haji Hamidun, Che Puan Besar Kedah. Turut hadir ialah Puan Nik Rozlihan binti Nik Ishak dan Datin Hasimah binti Haji Hamidun, yang turut bersama memeriahkan acara penuh bermakna ini. Majlis bermula seawal jam 10.30 pagi dengan ketibaan para penerima sumbangan. Pada jam 12.00 tengah hari, keberangkatan tiba Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah disambut dengan penuh hormat, diikuti dengan bacaan doa dan ucapan aluan daripada Yang Berbahagia Encik Nasrun bin Dato’ Mohd Sheriff, Pegawai Daerah Pendang. Antara pengisian majlis termasuk tayangan montaj lagu Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah serta acara utama iaitu pengurniaan sumbangan kepada anak-anak yatim. Sumbangan yang disampaikan termasuk baju raya, duit raya dan hampers bagi menceriakan sambutan Aidiladha mereka.
Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran cenderahati antara pihak Yayasan dan Pejabat Daerah Pendang. Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah kemudiannya turut bersantap bersama tetamu kehormat dan VVIP yang hadir.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama penerima sumbangan, kakitangan PDTP serta pelajar praktikal, sebelum keberangkatan pulang Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah.
Turur hadir bersama ke majlis ini Yang Berusaha Encik Muhammad Hamdi bin Abdullah Zawawi,
Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah), Yang Berusaha Puan NorFazni binti Mustafa, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Daerah), Yang Berusaha Encik Mohd Zhafri bin Dato’ Haji Mohd Zohdi, Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah) serta Penghulu-penghulu Mukim Daerah Pendang.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja membawa sinar kepada anak-anak yatim yang diraikan, malah mengukuhkan lagi hubungan antara pihak istana, pentadbiran daerah dan komuniti setempat melalui usaha murni dan berterusan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah.
 
 
 
advanced-floating-content-close-btn