Panduan Membayar Cukai Tanah
PENERANGAN RINGKAS
Cukai tanah ialah bayaran yang dikenakan setiap tahun sebagai cukai ke atas tanah yang diberimilik (Geran). Membayar cukai tanah adalah tanggungjawab pemilik tanah. Cukai tanah hendaklah dibayar mulai 1 Januari hingga 31 Mei tahun semasa. Jika cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun akan menjadi tunggakan dan dikenakan denda lewat mengikut kadar yang telah ditetapkan.
CARA BAYARAN DAN KAEDAH BAYARAN
Bayaran cukai tanah boleh dijelaskan melalui kaedah berkenaan:-
- Kaunter hasil Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Wisma Negeri, Alor Setar, Kedah
- Kaunter hasil mana-mana Pejabat Tanah Daerah (12 Daerah)
- Kaunter cukai tanah di UTC Kedah dan UTC Sungai Petani
- Pembayaran secara online di https://ibayaq.kedah.gov.my/
- Bayaran melalui pos (cek,wang pos, postal order, money order) hendaklah dibuat atas nama “PENTADBIR TANAH DAERAH………” (mengikut daerah-daerah yang berkenaan) atau “PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH”.
BIL CUKAI TANAH
Penghantaran Bil cukai tanah kepada pemilik tanah adalah untuk memberi kemudahan dan peringatan sahaja. Walau bagaimanapun pemilik tanah yang tidak menerima bil cukai tanah boleh mendapatkannya di Bahagian Hasil Pejabat Tanah yang berkenaan dengan mengemukakan butir-butir berikut:-
- Resit lama hakmilik
- Nombor Hakmilik, Jenis hakmilik (cth: HSD, GRN), Mukim/Bandar/Pekan
- Kad Pengenalan Pemilik (MyKad)
Nama dan alamat di atas Bil adalah untuk tujuan urusan surat menyurat sahaja. Nama-nama Tuan Punya Tanah berdaftar masih dirujuk pada surat Hakmilik.
SEMASA PEMBAYARAN
Sila tunjukkan Resit Pembayaran tahun lepas atau Surat Hakmilik/Geran sahaja untuk semakan. Resit Pembayaran Cukai ini perlu ditunjukkan untuk sebarang urusniaga berkaitan dengan hakmilik tersebut.
SELEPAS PEMBAYARAN
Perlu menyemak beberapa perkara berikut :
- Pastikan ada cetakan berkomputer di atas resit.
- Pastikan amaun yang dibayar sama dengan amaun yang tercatat di atas resit bayaran
Catatan berkomputer di atas resit sama dengan maklumat di atas bil cukai tanah.
PEMBAYARAN TUNGGAKAN CUKAI TANAH
Pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai tanah boleh memohon kepada Pentadbir Tanah untuk membayar secara ansuran. Bayaran ansuran hanya akan diberikan kepada pembayar cukai yang dirasakan perlu oleh Pentadbir Tanah berdasarkan alasan yang munasabah.
Bayaran ansuran hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tahun semasa mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Pentadbir Tanah. Kegagalan mematuhi jadual bayaran yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan perampasan diambil tanpa apa-apa notis.
TINDAKAN JIKA GAGAL MEMBAYAR CUKAI TANAH
Pemilik tanah yang tidak membayar tunggakan cukai tanah akan diberi peringatan untuk tempoh tertentu yang ditetapkan melalui surat pentadbiran. Jika masih engkar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dan diberi tempoh 3 bulan untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah.
Jika pemilik tanah masih engkar menjelaskan tunggakan cukai tanah pada akhir tempoh tiga bulan seperti yang dinyatakan di dalam Notis 6A, Pentadbir Tanah boleh mengisytiharkan dengan perintah, tanah itu DILUCUTHAK dan menjadi hak Kerajaan Negeri Seksyen 97 & 100 KTN.