PROGRAM PENANAMAN BAKAU BERSAMA YTM TUNKU TEMENGGONG KEDAH

Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah

PROGRAM PENANAMAN BAKAU BERSAMA YTM TUNKU TEMENGGONG KEDAH

KUALA MUDA,05 Jun 2025 (Khamis) – Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, Yayasan Sultanah Bahiyah telah menganjurkan program penanaman pokok bakau bertempat di Kompartmen 1, Hutan Simpan Merbok, Kuala Muda, Kedah.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah (Pengerusi YSB) dan telah melibatkan penyertaan hampir 80 orang peserta daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Hutan Negeri Kedah, Pejabat Daerah Kuala Muda, Majlis Belia Negeri Kedah, Persatuan Cahaya Harapan dan sukarelawan YSB.
Sebanyak 300 buah anak pokok bakau telah berjaya ditanam dalam program ini sebagai sebahagian daripada usaha melindungi dan memulihara kawasan pesisir pantai serta mengekalkan kelestarian biodiversiti tempatan. Penanaman pokok bakau ini juga diharapkan dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan menjadi benteng semula jadi terhadap hakisan tanah serta bencana alam. Selain itu, ia juga merupakan satu pendekatan pendidikan alam sekitar yang menyasarkan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar.
Program ini turut dihadiri oleh YBhg Tuan Azmin bin Zainol Abidin (Pegawai Daerah Kuala Muda), YBhg En Muhammad bin Abdullah (Pengarah Perhutanan Negeri Kedah) berserta Ahli-Ahli Lembaga Amanah YSB.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua jabatan, agensi dan sukarelawan yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini menjadi contoh dan dorongan kepada lebih banyak inisiatif hijau pada masa hadapan.
advanced-floating-content-close-btn