CERAMAH KHAS AIDILADHA 1442H / 2021 PERINGKAT DAERAH BANDAR BAHARU

CERAMAH KHAS AIDILADHA 1442H / 2021 PERINGKAT DAERAH BANDAR BAHARU

Bandar Baharu – 15 Julai 2021 (Khamis)

Sempena menyambut ketibaan sambutan Hari Raya Aidil Adha 1441H / 2021, Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu, Majlis Daerah Bandar Baharu dan Biro Agama PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu telah menganjurkan Ceramah Khas Sempena Aidil Adha 1441H / 2021 yang bertajuk “Korban Satu Perjuangan” yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Facebook Live pada jam 9.00 pagi.
Ceramah ini disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Syeikh Wan Addas bin Wan Abd Hamid, PJK., Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu.
Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu / Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK., yang juga Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu turut berkesempatan menyertai ceramah khas yang dianjurkan secara maya ini.
Ceramah dimulakan dengan aluan serta tazkirah ringkas oleh Penolong Pegawai Agama, Pejabat Agama Daerah Bandar Baharu, Ustaz Roslan bin Mat.
Antara pengisian ceramah yang bertajuk “Korban Satu Perjuangan” ini ialah amalan-amalan yang digalakkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sejarah ibadah korban, kepentingan dan kelebihan melaksanakan ibadah korban.
Ceramah yang berlangsung selama satu jam ini diakhiri dengan bacaan doa oleh Yang Berbahagia Tuan Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu bagi memohon keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan dari Allah s.w.t. untuk seluruh masyarakat di Daerah Bandar Baharu dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia kini.
Turut serta dalam ceramah secara maya ini ialah Yang Berhormat Dato’ ADUN Bandar Baharu, YBhg. Datin Paduka Pengerusi PUSPANITA Negeri Kedah, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu, Ketua-ketua Jabatan / Agensi di Daerah Bandar Baharu, Ahli-Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu, Penghulu-penghulu Mukim dan para warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu, Majlis Daerah Bandar Baharu dan para warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Tuan Syeikh Wan Addas bin Wan Abd Hamid di atas ceramah yang bermanfaat dan penuh pengajaran ini.