KUBANG PASU DAERAH PERTAMA MENGHASILKAN DOKUMEN PELAN PEMBANGUNAN DAERAH KUBANG PASU 2035

KUBANG PASU DAERAH PERTAMA MENGHASILKAN DOKUMEN PELAN PEMBANGUNAN DAERAH KUBANG PASU 2035

JITRA, 13 Februari 2024(Selasa)  – Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu telah berjaya menjadi daerah pertama di Negeri Kedah yang telah menghasilkan dokumen Pelan Pembangunan Daerah Kubang Pasu 2035 yang dibangunkan selari dengan matlamat Pelan Kedah 2035. Penghasilan dokumen pelan ini adalah penting dan sejajar dengan ‘way-forward’ (halatuju) yang menetapkan semua pejabat daerah perlu menyediakan pelan pembangunan daerah yang selari dengan Pelan Kedah 2035.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata sebagai jentera pentadbiran yang bertanggungjawab menyelaras segala perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di peringkat daerah, Pejabat Daerah merupakan penggerak utama dalam pembangunan sosio-ekonomi rakyat ke arah merealisasikan ‘The Greater Kedah’ seperti yang digagaskan oleh Menteri Besar Kedah. Hasrat ini adalah selari dengan visi Pelan Kedah 2035 iaitu “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” dalam usaha menjadikan negeri Kedah sebagai negeri yang berdaya maju dan kompetitif.

“Seiring dengan peredaran masa, Kerajaan Negeri telah melalui pelbagai fasa dari segi perancangan hala tuju pembangunan negeri Kedah mulai tahun 1975 iaitu pelan kajian pembangunan Kedah Perlis sehinggalah Pelan Transformasi Kedah 2013-2018. Apabila tiba masa pembentukan Pelan Kedah 2035, perancangan agenda pembangunan negeri memasuki era baharu.
“Dengan mengambilkira pengalaman pelaksanaan pelan pembangunan sebelum ini dan senario politik serta tren pembangunan yang mencabar dari masa ke semasa, Pelan Kedah 2035 telah dirangka dengan merangkumkan perancangan sosio-ekonomi terdahulu. Elemen ‘kesinambungan’ diterapkan di dalam pembentukan pelan tersebut bagi memastikan ianya kekal relevan serta dapat memandu hala tuju negeri dengan berkesan.
“Satu konsep baharu yang diketengahkan di dalam Pelan Kedah 2035 adalah penjenamaan semula setiap daerah yang terdapat di Negeri Kedah mengikut kekuatan dan potensi masing-masing sebagai pandu arah kepada perancangan pembangunan di peringkat pentadbiran daerah. Bagi daerah Kubang Pasu, Kerajaan Negeri telah menetapkan identiti daerah Kubang Pasu sebagai Daerah Ilmu dan Logistik.
“Ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan kelebihan daerah Kubang Pasu sebagai hub ilmu dengan adanya institusi seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA) serta potensi besar aktiviti ekonomi di sempadan Malaysia-Thailand melalui pelaksanaan projek Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ) dan Kedah Science Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Daerah Kubang Pasu 2035 di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.

Sumber : Warta Kedah